Wednesday 20 April 2016

SAH Ke-6 – TUNTUTANMU



CAHAYA matahari tidak kelihatan pagi itu. Julia masih bimbang dan resah. Entah kenapa hatinya tidak tenang memikirkan Zakri. Dia membuat keputusan untuk menelefon Zakri sebelum berangkat ke sekolah. Dicapai telefon berjenama 'iPhone' yang berada di atas meja. Tangannya ligat menyentuh skrin telefon. Panggilannya tidak terjawab. Dia berputus asa.
    Dia meletakkan semula telefonnya lalu melangkah keluar dari biliknya. Dia memasuki kereta BMW milik ayahnya. Kereta itu meluncur keluar dari perkarangan rumah. Julia banyak termenung berbanding sebelumya.
    Setibanya di sekolah, hujan bagai mencurah tanpa henti. Dia mempercepat langkah ke kelasnya. Diliarkan matanya ke pelusuk ruang kelasnya. Bayang-bayang Zakri masih tidak kelihatan. Hatinya kecewa. Dia melangkah ke tempatnya. Dilihat jam pada tangannya. Perutnya tiba-tiba berkeroncong.
   Dia memutuskan untuk ke kantin sementara pembelajaran belum bermula. Dia melangkah keluar dari kelas. Kakinya pantas berjalan untuk mengelak dari terkena hujan. Sesampainya di kantin, dia terus ke arah kaunter untuk memilih hidangan yang tersedia. Tiba-tiba, dia tiada selera untuk makan. Dia beralih ke hadapan kantin. Entah kenapa dia tidak selera bila memikirkan masalah itu.
   Tidak semena, sebuah bekalan berwarna biru amat dikenalinya dihulurkan ke arahnya.
  "Rindu nasi goreng telur bungkus aku ke?" ungkap suara yang amat dikenalinya dan dirinduinya kini.
   Julia memalingkan mukanya. Benar! Lelaki itulah yang sedang dirinduinya. Cuma pagi ini, Zakri kelihatan lebih pucat dan rambutnya kusut.
   "Zack! Kenapa tak angkat call aku?" tanya Julia.
   "Mana ada! Kau yang tak angkat call aku." rungut Zakri.
   "Kenapa sedih? Rindu masakan aku ke?" tanya Zakri lagi.
     Julia pantas menganggukkan kepala. Setiap pagi, pasti Zakri akan memberinya sebungkus nasi goreng bersama telur bungkus.
    "Kenapa tak datang dua hari ni?" tanya Julia tersipu-sipu. Dia berjalan mengiringi Zakri.
    " Tak ada apa-apa pun. Cuma aku nak beritahu ni. Aku mungkin tak hadir ke sekolah minggu ni." balas Zakri.
   Julia mengerutkan dahinya. Langkahnya terhenti. Tidak semena, dia dilanggar dari belakang membuatkan dia hampir-hampir terjatuh. Pelajar yang melanggarnya mengerutkan dahi. Pelik melihat perilaku Julia.
  "Gila ka apa perempuan ni?" sindir pelajar itu.
    Julia mengendahkan. Dia berjalan mengiringi Zakri.
  "Kau tahu tak aku rindu nasi goreng kau. Tapi... " perbicaraanya tiba-tiba berhenti.
    "Tak apalah." sambung Julia.
    Mereka berdua beriringan menuju ke kelas. Setibanya di kelas, Julia hanya tersenyum melihat Zakri. Hatinya tiba-tiba terputik perasaan cinta. Dia ingin meluahkan pada Zakri. Tetapi dia malu.


TAMAT sahaja waktu pembelajaran, Julia mempercepat langkah mengekori Zakri. Akhirnya dia dapat berjumpa Zakri. Dia membuat keputusan untuk meluahkan segalanya pada Zakri. Perkarangan sekolah menjadi sepi. Zakri masih termangu menunggu kehadiran Julia. bibirnya agak pucat.
  "Apa yang kau nak beritahu? Aku kena cepat ni." beritahu Zakri.
  "Aku beritahu kau saja. Tapi aku juga nak tahu apa reaksi kau. Boleh tak?" tanya Julia.
  "hmm... Yelah. Cepat sikit."
  "Sebenarnya aku dah lama suka kau. Tapi aku malu nak luahkan." ungkap Julia.
   Zakri hanya tersenyum walaupun bibirnya pucat. Tidak semena, Shamsuri muncul memegang bahu Julia. Julia kaget. Dia pantas menoleh kepalanya.
   "Nasib baik kau tak balik lagi. Aku ada surat dari Zakri." beritahu Shamsuri.
    Julia mengerutkan dahinya.
  "Lah! Aku sedang bercakap dengan Zakrilah ni." tangannya menunjukkan ke arah belakang.
  "kau jangan merepeklah. Mana ada sesiapa pun."
 Julia menolehkan kepalanya. Jelas kosong sahaja perkarangan sekolah.
  "Aik! Tadi aku sedang cakap dengan Zakri." balas Julia teragak-agak.
  Shamsuri menggelengkan kepala. Tangannya pantas memberikan sepucuk surat kepada Julia. Julia mengambilnya lalu dibaca isi surat itu.
              Kepada Julia,
     Seandainya kau sedang membaca surat ini, bermakna aku sudah tiada di atas muka bumi ini. Maafkan aku kerana tak boleh nak buat nasi goreng kepada kau selepas ini. Aku minta maaf kalau ada apa-apa aku tersilap buat pada kau. Aku sepatutnya beritahu awal-awal pada kau. Tapi aku tak nak kau sedih. Sebenarnya, aku suruh Shamsuri beri surat ini selepas aku tak ada.
Aku mengidap barah otak dan doktor telah mengesahkan aku bakal meninggal bila-bila sahaja. Aku sudah tiada masa. Jadi, aku utuskan surat ini untuk kau. Maafkan aku sebab tak boleh ceriakan kau lagi. Maafkan aku jika kau tak dapat merasai nasi goreng aku lagi. Tetapi tak mengapa. Mungkin DIA lebih menyayangi aku. Aku perlu redha. Dan aku mahu kau juga meredhai pemergian aku. Aku juga sayang dan mencintai kau.
Semua ini suratan takdir. Jika bukan kita dijodohkan di dunia, insya-allah kita akan ditakdirkan bertemu di syurga nanti. Sebelum aku akhiri surat ini, aku minta maaf. Jagalah diri kau. Jangan lupa tunaikan kewajiban-Nya. Insya-Allah, aku akan doakn orang yang aku sayang di sini.
Daripada :
Zakri
(chef peribadimu)
         Sebaik sahaja selesai membaca surat itu, lutut Julia tiba-tiba menjadi lemah. Dia terduduk. Matanya mengalirkan air mata. Hatinya sedih tak berlagu. Tiada apa yang mampu diperkatakan lagi. Dia amat menyesali dirinya yang tidak mengambil tahu tentang Zakri.
        Zakri turut mengalirkan air matanya. Pakaiannya serba putih. Hatinya kini menjadi tenang. Perlahan-lahan Zakri hilang bersama sebuah cahaya putih yang berlalu pergi. Tangisan Julia diiringi hujan renyai. shamsuri cuba memapah Julia ke tempat teduh. Julia terus menadah tangannya.
    'Ya Allah, engkau jagalah Zakri disisi-Mu. Tempatkanlah dia disisi-Mu.'
Lalu mengalirkan air mata.
  


No comments:

Post a Comment