MIMPI #2 : Anáptyxi
Aku melihat beberapa bayang-bayang dan kelibat. Kesemuanya cuba mengerumuniku. Salah satu kelibat itu mula menampakkan sosok tubuhnya sebenar. Namun, hanya wajahnya sahaja yang dikaburi, seluruh tubuhnya jelas kelihatan. Terdapat tanda tahi lalat di lehernya. Dalam semua kelibat yang cuba mentertawakan aku, lelaki bertahi lalat dilehernya cuba memberikan genggaman
tangannya. Aku takut.
Sekali lagi, dia menghulurkan tangan tanpa bersuara. Seketika, aku meraih genggamannya. Kesemua kelibat itu terdiam. Aku kini yakin untuk berdiri dan setelah itu, baru aku sedar bahawa ketinggianku adalah paling tinggi di dalam kalangan mereka. Sehinggakan mereka semua terpaksa mendongak untuk melihat aku.
Tiba-tiba, seutas benang emas membelit jari-jemariku dan menghubung kepada semua kelibat yang berada di sekelilingku. Dan dari kejauhan terdapat sekelompok kelibat lagi yang bersambung benang emasnya ke sini. Semakin cuba di lepaskan, benang emas yang menghubungkan dua kelompok itu, semakin erat di tarik. Sehingga suatu masa, benang yang ditarik oleh kedua kelompok itu putus dan benang emas yang berada dalam kelompok aku berdiri ini semakin menebal. Dari kejauhan, aku dapat melihat, kelompok yang terputus talinya tadi hilang di bawa oleh angin gersang itu lagi.
Balutan benang emas itu menebal sehingga menimbus kelompok kelibat yang mentertawakan aku bersama lelaki bertahi lalat di lehernya. Aku menjadi lemas. Sehinggalah aku betul-betul tertimbus bersama mereka.
Siapa mereka sebenarnya?
No comments:
Post a Comment